Tribute to Haron AbdulMajid
Selepas Loloq, seorang lagi insan seni dari Singapura telah pergi buat selamanya.
Seperti lirik lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang beliau cipta, Haron AbdulMajid, telah pergi manyambut seruan Ilahi tepat pada pagi Syawal minggu lalu.
Sayu rasanya ketika aku mendengar khabar berita pada pagi Hari Raya itu. Bertambah sedih lagi bila aku hayati lagu hari raya dendangan Sudirman ini, seolah-olah mempunyai makna yang tersirat disebalik lirik yang beliau tulis itu.
"Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama. Meraikan Aidil Fitri yang mulia..."
Hanya sekarang baru aku sedar apa yang beliau maksudkan. Mak aiii....so touching seyy... :-(
Quote:
HARON ABDULMAJID MENINGGAL
Penyajak dan penulis seni kata mapan hembus nafas terakhir pada pagi Raya
Oleh Kamali Hudi
CAHAYA Aidilfitri hasil gubahan Haron Abdulmajid yang berkumandang di udara sejak beberapa hari lalu menambah suasana syahdu menyambut Raya.
Namun, suasana yang dibawakan lagu dendangan Jat daripada kumpulan Black Dog Bone itu bertukar sedih dan pilu pada pagi Raya kelmarin.
Ini kerana penyajak/penulis seni kata mapan Haron Abdulmajid, 58 tahun, pergi buat selama-lamanya bersama Ramadan yang berlalu.
Bagi yang membaca Berita Harian awal pagi Raya, mereka mulanya agak lega kerana beliau dilaporkan akan keluar dari hospital pada minggu kedua Hari Raya memandangkan ada tanda-tanda pemulihan.
Seorang rakan karibnya, Haji Mustaffa Yaakub, berkata Allahyarham dilihat agak ceria apabila rakan-rakan rapat menziarahinya dan tidak ada tanda-tanda beliau akan meninggalkan kita secara mendadak.
'Beliau melihat kami dalam keadaan tenang dan kadangkala mengukir senyuman sehari sebelum ini,' jelas nya.
Menurut seorang lagi rakan karibnya, Haji Nashir Yusop, perubahan mendadak Allahyarham bermula 4 pagi kelmarin.
Haji Nashir telah dihubungi pihak hospital agar beliau dan rakan-rakan segera ke hospital kerana keadaan Allahyarham begitu tenat.
Menurut doktor, Allahyarham mengalami komplikasi dengan tiba-tiba di bahagian kepala yang masih terdapat beberapa ketul ketumbuhan yang belum sempat di keluarkan.
Haron menghembuskan nafas terakhir pada 8.48 pagi di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Beliau banyak menulis sajak dan seni kata lagu sejak 1970-an.
Kali terakhir, beliau menyiapkan novel pertamanya berjudul Ombak Jadi Saksi dan CD Hari Raya, Lambaian Lebaran, yang kini beredar di pasaran.
Kini, seni kata lagu hasil ilhamnya dan didendangkan artis-artis terkenal tetap dikenang dan beliau dianggap sebagai seorang pejuang seni muzik Melayu.
Antara yang menziarahi Allahyarham ialah rakan seperjuangan seperti komposer veteran Kassim Masdor, penulis seni kata veteran Yusnor Ef, sasterawan Jamal Tukimin dan para artis serta dramatis.
Beliau meninggalkan balu dan dua orang anak, masingmasing berusia empat dan 10 tahun, di Yogyakarta, Indonesia.
Jika menerusi lagu Cahaya Aidilfitri menambah suasana syahdu Syawal, satu lagi lagu Raya gubahan Allahyarham, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, dendangan Sudirman Haji Arshad (Allahyarham), jelas tersirat hasratnya sebelum pulang ke rahmatullah.
End quote.
Terimakasih dengan segala karya seni mu untuk kami selama ini. Semoga roh mu sentiasa dicucuri rahmat. Al-Fateha...
Dari Jauh Kupohon Maaf
Lirik : Haron AbdulMajid
Dalam dingin subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya menitis air mata
Terbayang suasana permai desa
Rindu hati ini inginku kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita bersama
( korus )
Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia
Restu ayah bonda kuharap selalu
Hingga aku pulang kepadamu
( ulang korus )
Restu ayah bonda kuharap selalu
Demi anakmu yang kini jauh
ps : Dari jauh ku pohon maaf jua kepada keluarga Tok Busu Lamin yang datang jauh dari Pahang yang tak sempat aku ketemu dikampong pada raya pertama tu hari. Semoga kiter dipanjangkan umur dan bersua lagi pada masa yang terdekat nanti, Insya-Allah.